Free Advertising from Click2Net!
KENYATAAN MEDIA 10 September 1999
PERCUBAAN MEMBUNUH KEDUA TERHADAP DATUK SERI ANWAR IBRAHIM : TUBUH
SURUHANJAYA BEBAS SIASAT PEMIMPIN UMNO/BN, PDRM, PENJARA DAN SEMUA
PIHAK YANG TERBABIT
Dewan Pemuda PAS Pusat melahirkan rasa dukacita dengan percubaan
membunuh kali kedua yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak tertentu
terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meracun beliau dengan sejenis
racun berbisa iaitu arsenik.
Perkara ini didedahkan oleh laporan patologi berdasarkan air kencing
Datuk Seri Anwar dari makmal Gribbles Pathology, Melbourne Australia
yang menunjukkan bahawa kandungan racun arsenik dalam tubuh beliau 77
kali ganda melampaui tahap biasa.
Kemorosotan kesihatan Datuk Seri Anwar terbukti jelas puncanya adalah
kerana diracun. Datuk Seri Anwar dalam laporan polis pada hari ini
telah mengadu kehilangan berat badan (sehingga 13.5 kilogram),
keguguran rambut, kebas dan kekeringan kulit akibat kesan racun
arsenik. Dalam jangka masa panjang racun ini akan mendatangkan kesan
parah dan boleh membawa maut.
Perbuatan jahat dan keji meracun penentang politik oleh para
konspirator politik tidak asing dalam dunia ini dan nampaknya para
konspirator politik negara kita turut memilih racun arsenik yang amat
bisa. Sejarah telah mencatatkan bahawa racun arsenik juga menjadi
punca kematian beberapa orang tokoh kenamaan seperti Napolean
Bonaparte pada tahun 1821, Rene Dercartes ahli falsafah Perancis yang
diracun pada kurun ke 17 dan ramai lagi.
Walaubagaimana pun Dewan Pemuda PAS Pusat tidak berasa terkejut dengan
perbuatan jenayah ini. Kita telah menjangka sebaik sahaja Datuk Seri
Anwar dipecat dari kerajaan dan Umno, beliau telah diperlakukan dengan
sebegitu hina dari segi moral dan jasad hatta nyawa Datuk Seri Anwar
ibarat telur di hujung tanduk yang bila-bila masa boleh ditamatkan
walaupun dalam jagaan atau tahanan pihak berkuasa yang sepatutnya
menjaga keselamatan rakyat.
Semasa dalam tahanan lokap polis di Bukit Aman, Datuk Seri Anwar telah
dipukul dengan satu pukulan yang boleh mendatangkan maut oleh bekas
Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor. Susulan membunuh kali kedua
dengan meracun Datuk Seri Anwar ini adalah satu perbuatan jenayah yang
serius dan perlu satu tindakan yang amat tegas perlu diambil. Satu
perbuatan kebinatangan yang menunjukkan betapa gila dan rakusnya tamak
haloba kuasa oleh para konspirator politik yang ingin menamatkan terus
nyawa Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan dan mendesak Sidang Parlimen khas
perlu dibuat untuk membincangkan dan menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas
yang ahli-ahlinya dilantik dari kalangan para profesional yang bebas
untuk menyiasat percubaan membunuh kali kedua seperti mana Suruhanjaya
yang ditubuhkan untuk menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar yang
dipukul oleh Tan Sri Rahim Noor dalam lokap polis.
Dewan Pemuda PAS Pusat juga merayu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri
Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai payung negara dan rakyat
untuk mengambil tanggungjawab dan mengambil tindakan bagi memastikan
rakyat jelata sekalian mendapat perlindungan dari kejahatan dan
kezaliman yang berleluasa khususnya jenayah serius percubaan membunuh
kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim. DYMM Seri Paduka Baginda Yang
DiPertuan Agong harus menitahkan Sidang Parlimen khas diadakan untuk
membincangkan masalah ini.
Suruhanjaya Bebas mesti ditubuhkan segera untuk menyiasat para
konspirator politik yang terdiri daripada pemimpin kerajaan dan Umno
iaitu Datuk Seri Dr. Mahathir, Datuk seri Abdullah Badawi, Tun Daim
Zainuddin, Datuk Megat Junid, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan
Penjara serta kuncu-kuncunya sekalian. Mereka semua ini perlu
disiasat kerana percubaan membunuh kali pertama dan kedua ke atas
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah terjadi semasa beliau di bawah tahanan
dan jagaan semua pihak yang disebutkan tadi.
Para konspirator politik ini ingin menamatkan terus nyawa Datuk Seri
Anwar kerana semakin lama perbicaran dengan tuduhan-tuduhan palsu,
semakin banyak terbongkar kes-kes jahat mereka. Maka jalan paling
mudah adalah menamatkan riwayat Datuk Seri Anwar untuk menutup
kejahatan mereka. Peguam Negara dan mahkamah sewajarnya menggugurkan
dakwaan dan membebaskan Datuk Seri Anwar kerana tiada sebarang bukti
yang boleh disabitkan beliau melakukan kesalahan, jika tidak maka
terbuktilah juga Peguam Negara dan hakim-hakim turut sama bersubahat
dengan konspirator politik dan turut sama terpalit dosa cuba membunuh
Datuk Seri Anwar.
Dr. Mahathir juga diperingatkan supaya tidak berdolak-dalik dan
memberi alasan yang sama seperti dahulu iaitu kononnya Datuk Seri
Anwar meracun diri beliau sendiri seperti mana beliau memukul diri
sendiri. Dr. Mahathir sudah sewajarnya sekarang membubarkan parlimen
untuk memberi mandat semula kepada rakyat kerana Dr. Mahathir telah
mengkhianati mandat rakyat dan tidak lagi dapat memberi perlindungan
keselamatan kepada rakyat.
Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru kepada semua rakyat agar membantah
tindakan jahat para konspirator politik dengan mengadakan SOLAT HAJAT
di semua masjid dalam negara kita memohon dan mendoakan keselamatan
nyawa, rohani dan fizikal Datuk Seri Anwar Ibrahim ke hadrat Allah SWT
serta memohon dihukum dan ditunjukkan oleh Allah SWT pihak yang
bertanggungjawab yang cuba membunuh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rakyat
harus bertindak segera untuk menamatkan pemerintahan kejam dan zalim
ini dengan menolak Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum
akan datang.
BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN MEMIMPIN PERUBAHAN
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Kenyataan KakWan tentang Anwar diracun
Jiwa Merdeka