Make your own free website on Tripod.com
Click here to visit our sponsor
Free Advertising from Click2Net!
 
KENYATAAN AKHBAR PMIUM BERHUBUNG KES CUBAAN MEMBUNUH 
BEKAS TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA 
 
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyifatkan 
laporan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar 
Ibrahim diracun semasa di dalam tahanan adalah sebagai satu kes yang 
amat membimbangkan. 
 
PMIUM menegaskan bahawa kes ini merupakan satu perkara yang amat 
memalukan negara yang dianggap mengamalkan sistem demokrasi dan 
mementingkan keamanan serta kestabilan. PMIUM amat terkilan di samping 
wujudnya satu konspirasi politik yang dirancang untuk menjatuhkan 
Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat juga cubaan untuk membunuh beliau 
yang disifatkan sebagai perbuatan yang amat kejam dan tidak berperi 
kemanusiaan. 
 
Sekiranya dirujuk kepada kes dimana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul 
semasa di dalam tahanan, Perdana Menteri menyifatkan Datuk Seri Anwar 
Ibrahim sebagai mencederakan dirinya sendiri. Ini telah disanggah 
dengan pengakuan bahawa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor 
telah turut terlibat dalam kes tersebut. Di dalam kes ini pula, Peguam 
Negara Tan Sri Mokhtar Abdullah telah membayangkan bahawa keluarga 
Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terlibat dalam meracuni beliau dengan 
Arsenik. 
 
PMIUM mengingatkan bahawa kerajaan selaku mereka yang memegang kuasa 
pemerintahan perlu menggunakan kuasa yang diberikan bertepatan dengan 
syariat Allah bukan bertindak sewenang-wenangnya. 
 
Oleh yang demikian, PMIUM mendesak agar : 
 
1. Satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan oleh pihak yang berwajib bagi 
menyiasat perkara tersebut dengan penuh tanggungjawab bagi menjelaskan 
keadaan sebenar yang berlaku dan membawa mereka yang bertanggungjawab 
dalam kes ini ke muka pengadilan. 
2. Perdana Menteri Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, 
Pengarah Penjara meletakkan jawatan dan bertanggungjawab sepenuhnya ke 
atas apa yang berlaku ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim dan kegagalan 
memastikan keselamatan beliau semasa dalam tahanan. 
3. Institusi mahkamah khususnya pihak Jabatan Peguam Negara mestilah 
berlaku adil dan tidak menunjukkan tindakan berat sebelah dalam 
mengadili sebarang kes yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim kerana 
rakyat mahu melihat institusi ini bebas daripada pengaruh pihak-pihak 
yang berkepentingan. 
4. Dato Seri Anwar Ibrahim diberikan kebenaran khas ikat jamin oleh 
pihak Peguam Negara sekiranya pihak-pihak yang disebutkan di atas 
tidak mahu bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes ini. 
5. Dato Seri Anwar Ibrahim dirawat dengan segera sehingga tahap 
kesihatan beliau memuaskan untuk meneruskan perbicaraan dan laporan 
tahap kesihatan beliau diumumkan kepada rakyat agar rakyat boleh 
menilai sejauhmanakah kerajaan mengambil serius persoalan ini. 
 
PMIUM sebagai satu badan induk mahasiswa Islam Universiti Malaya akan 
sentiasa menjadi watch dog kepada segala ketidakadilan yang berlaku 
dalam negara khususnya dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim. Dalam hal 
ini mahasiswa sudah hilang kepercayaan dan bertambah ragu terhadap 
kepimpinan negara serta sistem yang diamalkan sekarang. 
 
Sebagai susulan, mahasiswa akan menghantar memorandum kepada Yang 
Dipertuan Agung bagi memastikan tuntutan ini dipenuhi dan 
dipertimbangkan serta kuasa dan peranan pihak tertentu dikawal demi 
melihat keadilan dan sistem kehakiman negara daripada terus dicabuli. 
 
PMIUM menyeru para mahasiswa dan masyarakat amnya agar menyedari dan 
memahami hak masing-masing sebagai rakyat untuk melihat keadilan dan 
kesaksamaan dilaksanakan di negara kita. Jika aspek ini tidak mampu 
dipertahankan oleh pihak pemerintah pada hari ini, maka menjadi 
tanggungjawab rakyat untuk melakukan perubahan yang menyeluruh dalam 
pilihanraya ke 10 yang akan datang. 
 
 
MOHD HUZAIRI HUSAIN 
Presiden 
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya ( PMIUM ) 
Sesi 1999 / 2000 
12 SEPTEMBER 1999 
  • Kenyataan ABIM UK
  • Kenyataan ABIM US, MISNA
  • KENYATAAN MEDIA AL HIZBUL ISLAMI UK & EIRE
  • Surat drpd Dr. Munawar A. Anees
  • Kenyataan KakWan tentang Anwar diracun
  • Laporan Polis Anwar berkenaan diracun
     

     
    Jiwa Merdeka